Kebelakangan ini kita sering dipaparkan dengan peristiwa yang menyayat hati iaitu anak membuang/menghina/memukul dan tidak mengakui ibu bapanya yang telah melahirkan mereka dan membesarkan dengan penuh kasih sayang.
Kenapa terjadi perkara yang menyedihkan ini? Kurangkah didikan agama yang diterima? Salah guru di sekolahkah atau didikan yang amat longgar oleh ibu bapa? Atau keadaan persekitaran yang mengubah pendirian anak-anak hingga tergamak memperlakukan ibu bapa mereka begitu hina sekali?
Islam mengajar 'syurga di bawah telapak kaki ibu'. Nabi menyuruh hingga 3 kali berbakti pada ibu dan kemudian baru bapa. Adakah anak-anak tidak tahu perkara tersebut? Atau sudah terhakiskah kepercayaan mereka pada agama nenek moyangnya?
Suami jadi dayus kerana mengikut cakap isteri. Akhirnya sanggup mengenepikan ibubapa semata-mata kerana menurut kata isteri yang jahil dalam agama. Nabi Ismail as menceraikan isterinya apabila diberitahu secara berkias sahaja oleh bapanya Nabi Ibrahim as tanpa bersoal jawab. Itu tanda anak yang penuh iman di dada. Abdullah anak Saidina Abu Bakar menceraikan isterinya Atiqah apabila diarahkan oleh bapanya semata-mata kerana Abdullah telah cuai ke masjid untuk bersolat jemaah lantaran terleka oleh gurau senda isterinya yang cantik itu.
Hari ni jika ada bapa yang mengarahkan anaknya berbuat begitu kerana alasan yang sama adakah anak akan mengikut? Rasanya soalan yang akan keluar ialah, mengapa? Saya cintakan isteri saya dan lain-lain.
Anak lelaki tidak lepas dari tanggungjawab kepada kedua ibubapanya hinggalah dia sendiri dikebumikan. Jika ibubapanya sudah meninggal dunia kewajipannya mendoakan roh ibubapa mereka. Menghantar tahlil dan lain-lain. Bukan sedih atau menangis ketika kematian sahaja. Beruntunglah mereka yang dapat mendidik anak-anak mereka hingga ke tahap begitu.