Tuesday, January 26, 2010

TANGGANG MODEN

Kebelakangan ini kita sering dipaparkan dengan peristiwa yang menyayat hati iaitu anak membuang/menghina/memukul dan tidak mengakui ibu bapanya yang telah melahirkan mereka dan membesarkan dengan penuh kasih sayang.

Kenapa terjadi perkara yang menyedihkan ini? Kurangkah didikan agama yang diterima? Salah guru di sekolahkah atau didikan yang amat longgar oleh ibu bapa? Atau keadaan persekitaran yang mengubah pendirian anak-anak hingga tergamak memperlakukan ibu bapa mereka begitu hina sekali?

Islam mengajar 'syurga di bawah telapak kaki ibu'. Nabi menyuruh hingga 3 kali berbakti pada ibu dan kemudian baru bapa. Adakah anak-anak tidak tahu perkara tersebut? Atau sudah terhakiskah kepercayaan mereka pada agama nenek moyangnya?

Suami jadi dayus kerana mengikut cakap isteri. Akhirnya sanggup mengenepikan ibubapa semata-mata kerana menurut kata isteri yang jahil dalam agama. Nabi Ismail as menceraikan isterinya apabila diberitahu secara berkias sahaja oleh bapanya Nabi Ibrahim as tanpa bersoal jawab. Itu tanda anak yang penuh iman di dada. Abdullah anak Saidina Abu Bakar menceraikan isterinya Atiqah apabila diarahkan oleh bapanya semata-mata kerana Abdullah telah cuai ke masjid untuk bersolat jemaah lantaran terleka oleh gurau senda isterinya yang cantik itu.

Hari ni jika ada bapa yang mengarahkan anaknya berbuat begitu kerana alasan yang sama adakah anak akan mengikut? Rasanya soalan yang akan keluar ialah, mengapa? Saya cintakan isteri saya dan lain-lain.

Anak lelaki tidak lepas dari tanggungjawab kepada kedua ibubapanya hinggalah dia sendiri dikebumikan. Jika ibubapanya sudah meninggal dunia kewajipannya mendoakan roh ibubapa mereka. Menghantar tahlil dan lain-lain. Bukan sedih atau menangis ketika kematian sahaja. Beruntunglah mereka yang dapat mendidik anak-anak mereka hingga ke tahap begitu.

6 comments:

Faris said...

Pokok segala masalah adalah berpunca daripada kurangnya pendidikan agama terhadap anak2 ini. Kadang kala timbul rasa pelik apabila orang Islam tidak mahu menghantar anaknya bersekolah agama atau fardhu ain sebelah petang atau pagi selepas sekolah kebangsaan kerana kasihankan anak2 penat. Natijahnya ialah apa yang berlaku sekarang ini.

mpmn said...

faris..
mmg x dpt dinafikan kefahaman terhadap agama yg mantap akan menyelesaikan kekalutan yg berlaku sekarang.

jika hendak dibahaskan mmg akan timbul berbagai2 alasan kenapa pendidikan agama tidak mendapat tempat di hati ibu bapa sekarang

binzain said...

dunia akhir zaman mmg mcm ni.
ini lah salah satu petanda akhir zaman. "ibu melahirkan tuan".banyak yg terjadi sekarang ini.

didikan agama merupakan salah satu satu punca yg sering diperkatakan. punca sumber pemakanan juga jangan dilupakan.

dari mana ianya datang, adakah halal atau haram...?!!ini semua boleh pengaruhi tingkahlaku anak2 kita.

Anonymous said...

Salam Bro.

“Belajarlah rajin-rajin, nak. Besar nanti boleh jadi doktor ke, lawyer ke, engineer ke…”. “Mak dan ayah akan usahakan segala yang termampu asalkan hasrat kau untuk masuk ke universiti akan tercapai..”.
Guru bertanya kepada murid-muridnya: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak jadi pilot”. “Saya pula nak jadi cikgu”. “Saya nak jadi saintis”. “Saya nak jadi businessman”.
Kalau dahulu, inilah lebih kurang dialog-dialog yang sering kita dengar di antara anak dan ibu bapa dan murid dengan gurunya. Suatu dialog yang menggambarkan bahawa ibu bapa mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat anak-anak mereka berjaya menceburi bidang-bidang pekerjaan yang hebat dan dipandang murni. Jawapan daripada anak-anak atau murid-murid generasi dahulu juga sudah cukup membuktikan bahawa mereka adalah generasi yang berwawasan, mempunyai matlamat hidup dan menyedari peranan mereka di masa hadapan.
Tapi sekarang, lain pula yang kita dengar. “Mummy bangga dengan kamu kerana terpilih ke Akademi Fantasia”. “Daddy mahu kamu berusaha bersungguh-sungguh untuk pertandingan Malaysian Idol nanti”. “Saya berasa sangat seronok kerana akhirnya hasrat anak saya untuk jadi penyanyi tercapai juga akhirnya”. “Rancangan Mentor ini telah memberikan masa depan yang cerah buat anak saya”. “Abah dan ibu akan memberikan sokongan yang kuat, asalkan kau menang dalam pertandingan My Starz nanti”…
Murid-murid pula apabila ditanya guru mereka: “Apa cita-cita kamu?”. “Saya nak masuk Akademi Fantasia”. “Saya nak jadi penyanyi”. “Saya suka sangat kalau dapat masuk Malaysian Idol”.
Inilah yang kita dengar dan lihat hari ini. Jawapan-jawapan yang menggambarkan kepada kita tentang betapa tingginya harapan sesetengah ibu bapa yang mahu menjadikan anak mereka seorang penyanyi. Ibu bapa akan sangat gembira, terharu dan menangis kegembiraan jika anak mereka terpilih untuk menyertai mana-mana rancangan realiti televisyen yang ingin melahirkan “penyanyi-penyanyi segera” –kualitinya belum tahu lagi-. Sebaliknya ibu bapa ini akan berasa sedih, kecewa dan menangis kesedihan jika anak mereka gagal terpilih atau tersingkir. Sebab itu, ibu bapa ini akan sanggup berkorban demi melihat anak mereka berjaya terpilih. Malah, ada yang sanggup menjual tanah dan berhutang semata-mata ingin mempromosikan anak mereka. Ada ibu bapa lain juga terpaksa berhutang, tetapi untuk membeli buku-buku latihan dan membayar yuran-yuran pengajian anak. Bukan setakat ibu bapa, malah adik-beradik dan sanak saudara yang lain turut serta memberi sokongan padu. Sebab itu, ada yang sampai menubuhkan “fan club”, buat banner, t-shirt khas dan sebagainya. Ini semua dilakukan semata-mata untuk melihat si anak ini menjadi seorang penyanyi.

....adely

Anonymous said...

Apa sudah jadi dengan sesetengah ibu bapa yang sebegini. Mereka sedih, kecewa dan menangis apabila anak mereka tersingkir atau tidak terpilih untuk menjadi penyanyi. Tetapi mereka tidak kisah jika anak yang sama juga tidak solat lima waktu. Mereka tidak gusar jika anak mereka masih tidak pandai membaca al-Quran. Mereka tidak bimbang jika anak yang sama juga bergaul bebas tanpa batasan antara teman-teman lelaki dan perempuan. Mereka tidak sedih jika anak yang sama juga gagal di dalam peperiksaan. Mereka tidak hirau jika corak kehidupan anak-anak mereka seolah-olah hanya hidup untuk seronok dan hiburan. Mereka tidak risau jika anak yang sama juga tidak mempunyai matlamat dan arah tujuan di dalam kehidupan.
Kemana hilangnya semangat dan harapan yang ada pada ibu bapa generasi dahulu? Di mana silapnya atau siapakah yang silap? Apakah silap pihak media dan tv yang terlalu banyak menyiarkan rancangan-rancangan hiburan, tidak kira dari luar negeri mahupun artis-artis tempatan? Atau jari harus ditundingkan kepada kerajaan yang tidak menyekat dan mengawal hiburan-hiburan yang tidak berpatutan? Atau ianya salah guru-guru yang tidak memberikan nasihat dan pesanan. Atau adakah mungkin salah masyarakat yang turut menghantar sms memberikan sokongan? Atau mungkin juga salah ustaz-ustaz dan golongan agama yang tidak mengajar dan mengajak umat supaya kembali kepada panduan al-Quran dan sunnah Nabi junjungan. Atau perkara ini berlaku secara kebetulan? Atau mungkin juga ia suatu perancangan pihak lawan? Atau mungkin inilah kesannya dari dunia tanpa sempadan? Mungkin juga ini suatu lambang ketamadunan dan kemodenan sebuah bangsa yang bernama Melayu dan Islam sebagai anutan.
Generasi remaja sekarang juga seolah-olah sudah hilang hala tuju mereka. Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan hakiki.
Budaya hedonisme semakin menular di kalangan mereka. Hidup ini bagaikan tiada fungsi dan tujuan, semata-mata untuk berseronok dan hiburan. Peribadi dan sunnah Rasulullah saw tidak lagi menjadi ikutan. Lebih parah, ada yang ditanya tentang latar belakang Nabi, terus digelengkan kepala dan mahu mengelak diri. Tapi, pantang ditanya tentang artis kegilaan hati, terus dijawab tanpa henti dan ragu lagi. Semuanya dapat diceritakan; dari tajuk-tajuk album dan lagu hingga berapakah biji jerawat yang ada di dagu. Di mana show dan konsert di hujung minggu, hingga berapakah saiz baju, semuanya mereka tahu. Artis barat pula semakin dijadikan kiblat arah ikutan. Apa saja yang artis-artis barat lakukan, itulah garis panduan dan contoh ikutan. Kadangkala apa yang dilakukan sememangnya melampaui batas budaya ketimuran –apatah lagi syariat- tetapi itu semua dianggap trend dan kemodenan. Mereka tidak sedar, di saat masyarakat barat yang sedang menuju ke arah kehancuran dek kerana artis-artisnya yang tidak keharuan, remaja kita pula di dalam keasyikan menyambut dan menjulang mereka seperti dewa kayangan. Dari pakaian, cara bergaul, gaya hidup, semuanya ditiru dan dipertahankan.

.....adely

Anonymous said...

sangat menarik, terima kasih